Rabu, April 13

Kandungan Luar Rahim

Apakah kandungan luar rahim?

Kandungan luar rahim atau kehamilan ektopia (bahasa Inggeris: ectopic pregnancy) terjadi apabila hasil persenyawaan, atau zigot, tertanam di kawasan luar rahim seperti di tiub Fallopio, ovari ataupun di dalam ruang abdomen. Zigot yang tertanam di pangkal rahim (serviks) juga dikira sebagai kandungan luar rahim.

Faktor risiko


Berikut ialah hal-hal yang meningkatkan risiko seseorang wanita mendapat kehamilan luar rahim:
  • Pernah mendapat jangkitan kuman pada kawasan pelvis (penyakit radang pelvis)
  • Pernah mengandung luar rahim sebelum ini
  • Pernah mengalami keguguran kandungan
  • Penggunaan alat perancang kehamilan dalam rahim (intrauterine contraceptive device)
  • Pembedahan pelvis
  • Bertukar-tukar teman seks/seks bebas
  • Usia yang semakin tua

Petanda dan simptom yang boleh dialami

Dalam keadaan biasa:
  • Tiada haid (kerana mengandung)
  • Pendarahan dari vagina (biasanya sedikit sahaja)
  • Sakit pada bahagian pelvis yang berlarutan
Jika berlaku kandungan tuba yang baru pecah:
  • Pitam
  • Pening kepala
  • Denyutan nadi yang laju
  • Tekanan darah yang rendah
  • Sakit pada bahagian bahu (kerana pendarahan di dalam abdomen mengganggu saraf phrenic yang terletak pada diafragma)
Diagnosis

Berikut ialah teknik-teknik yang biasa digunakan bagi mengenal pasti kandungan luar rahim. Mengenal pasti kandungan luar rahim pada peringkat awal adalah penting agar rawatan boleh dilakukan secepat mungkin.
  1. Mengukur aras hormon hCG (gonadotrofin korion manusia, human chorionic gonadotropin) secara berkala 48 jam sekali. Peningkatan aras hCG yang lebih rendah daripada peningkatan sepatutnya boleh menjadi bukti tentang berlakunya kandungan luar rahim.
  2. Kajian daripada imbasan alat ultrasonar (ultrasound). Jika kandungan luar rahim berlaku, imbasan ultrasonografi akan menunjukkan rahim yang kosong, malah boleh menunjukkan terdapat embrio yang terletak di kawasan lain (contohnya, tiub fallopio).
  3. Laporoskopi, iaitu satu teknik pembedahan dengan menebuk lubang pada abdomen dan melihat keadaan dalam abdomen dengan menggunakan kamera kecil (scope). Ini hanya dilakukan jika kajian aras hCG dan kajian ultrasonografi tidak memberikan keputusan yang memuaskan bagi membuktikan kewujudan kandungan luar rahim.
 Rawatan

Teknik yang paling biasa dan paling berkesan ialah pembedahan untuk membuang kandungan tersebut. Ini dilakukan kerana kandungan luar janin tidak akan bertahan lama dan mempu mengancam nyawa si ibu. Kadang-kadang dalam keadaan yang mendesak, tisu yang terlibat juga terpaksa dibuang bersama-sama dengan embrio; contohnya ialah pembedahan salfingektomi (salphingectomy) iaitu pembuangan tiub fallopio yang terjejas disebabkan oleh kandungan tuba.

Namun disebabkan oleh perkembangan teknologi ultrasonografi, diagnosa kandungan luar rahim semakin kerap dapat dikenal pasti pada peringkat awal. Jika sedemikian, rawatan tanpa pembedahan boleh dilakukan, tetapi dengan syarat-syarat tertentu yang ketat. Rawatan bukan pembedahan ini termasuklah menyuntik pesakit dengan prostaglandin, kalium klorida atau methotrexate. Akibat daripada rawatan ini, embrio yang masih baru itu akan berhenti berkembang dan biasanya akan mengecut, diserap dan hilang di kawasan implantasi. Dalam keadaan lain, embrio tersebut mungkin akan diusir keluar bersama-sama dengan darah haid. Namun selepas rawatan seperti ini dilakukan, pesakit perlulah terus dipantau dengan ultrasonografi dan diukur aras hCG untuk beberapa minggu agar dapat dipastikan bahawa kandungan luar janin tersebut sudah benar-benar tiada.


 Sumber: Wikipedia


Catat Ulasan