Jumaat, Januari 21

Kehamilan Anggur

APABILA seseorang itu disahkan mengandung pastinya bagi yang amat mengingini kelahiran cahayamata akan menyambut berita itu dengan perasaan gembira. Naluri seorang bakal ibu tentunya mengharapkan agar kandungannya sihat sehingga tiba waktunya bersalin.

Begitupun, ada kalanya kandungan yang diharapkan selamat dilahirkan, tetapi tidak menjadi manusia, sebaliknya menjadi anggur pula. Fenonema sedemikian dinamakan sebagai 'mengandung anggur.'

Anggur? Mungkin terbayang dalam fikiran segugus buah anggur di dalam rahim wanita.  Di dalam perubatan perkara juga sebenarnya boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang aneh.

Kandungan ini dikatakan sebagai 'anggur' kerana tiada janin di dalam kandungan. Apabila dilihat melalui ultrasound, hanya kelihatan buih-buih sahaja. Buih-buih tersebut sebenarnya hanya mengandungi air.

Jika berbalik kepada sejarah kejadian manusia, Allah menjadikan  Nabi Adam dari segumpal tanah dan dimasukkan roh. Kemudian Allah menjadikan Hawa sebagai pasangannya dari rusuk kirinya.

Bermula dari itulah, manusia terus berkembang. Kejadian manusia seterusnya melalui  wanita iaitu ibu, daripada nutfah atau air mani, bercantum dalam rahim. Kemudian nutfah akan diproses menjadi segumpal darah.

Apabila kandungan masuk bulan kedua ia bertukar menjadi janin dan kemudian alaqah. Selepas itu ia  menjadi mugdah (bentuknya bagai segumpal daging dimamah). Ketika inilah  ia melalui proses pembentukan organ-organ.

Kandungan di dalam peringkat alaqah, denyutan jantungnya boleh dikesan melalui proses scanning. Oleh kerana itu, apabila kandungan yang sepatutnya sudah berada di peringkat alaqah tidak dapat dikesan denyutan jantungnya,ia bermakna mengandung anggur.

Kalau dikaji salah satu kelainan yang berlaku ini dari segi perubatan, baka kromosom dan gen daripada pasangan tersebut agak luar biasa. Kemungkinan sewaktu percantuman benih berlaku kerosakan.

Kadang-kadang faktor pasangan yang terdedah kepada bahan kimia atau  racun atau gas tanpa disedari boleh  menyebabkan perkara ini berlaku. Begitu juga akibat jangkitan kuman virus yang tidak dikenali.

Ada andaian mengatakan ada makhlus halus mengganggu manusia ketika percantuman benih. Oleh kerana itu sewaktu bersetubuh, digalakkan mengikut sunnah Rasullulah saw dengan membaca doa terlebih dahulu.Di dalam diri setiap manusia ada syaitan dan jin berkeliaran dalam darah. Bagi wanita, tumpuannya di dalam rahim.

Di kalangan wanita yang mengandung anggur, mereka tetap mengalami loya dan muntah. Bahkan kadang- kadang pengalamannya loya dan muntah lebih teruk dari biasa.

Oleh kerana itu, apabila mengalami kelewatan haid daripada biasa, digalakkan untuk melakukan ujian air kencing. Kini peralatan mengadakan ujian air kencing boleh dilakukan sendiri di rumah dengan menggunakan 'home-test' yang boleh dibeli di farmasi.

Sekiranya melalui ujian ultrasound mendapati tiada janin di dalam kandungan, ujian air kencing juga perlu dilakukan. Kebiasaannya dalam ujian air kencing mendapati hormon BHCG meningkat dalam darah. Keadaan sedemikian perlu diawasi kerana risiko terdekat ialah pendarahan paling banyak dan melimpah boleh mengancam nyawa.

Bagi wanita yang mengandung anggur, rawatan yang perlu dilakukan ialah melakukan D&C. Proses D&C juga perlu dilakukan sebanyak dua kali. Rawatan D&C kali kedua dilakukan dalam tempoh 2 minggu dari rawatan pada kali pertama.

Proses D&C ini perlu dilakukan sebanyak dua kali kerana sel-sel kehamilan anggur ini berpotensi menjadi kanser rahim Chorio carcinoma. Bagi mereka yang pernah mengandung anggur, antara 5 hingga 10 peratus daripada mereka boleh mendapat kanser jenis ini.

Selepas melalui proses D&C pada kali kedua, pusingan haidnya perlu diawasi. Sekiranya kedatangan  haidnya tiada selepas itu, ia akan membahayakannya, kemungkinannya ditumbuhi kanser tersebut.

Ketika itu ujian air kencing dilakukan, keputusannya akan positif. Ujian darah boleh dibuat untuk memastikan hormon BHCG tiada dan sel-sel kehamilan anggur juga tiada.

Suatu ketika dahulu sekiranya seseorang yang pernah mengandung anggur dan dirawat sebaik-baiknya dua tahun selepas itu baru boleh mengandung semula. Namun, kini, selepas 6 bulan sudah boleh mengandung semula.  Namun sebelum mengandung, pihak doktor perlu memastikan hormon BHCG dan sel-sel kehamilan anggur sudah tiada. Namun, kanser Chorio carcinoma ini jika berlaku, ia boleh diubat dengan menggunakan ubat methrotrexe berbanding kanser jenis lain yang memerlukan kimoterapi.

Sebenarnya kehamilan anggur boleh berulang semula, namun pencagahan boleh dilakukan. Asid folik antara 5-10mg perlu diambil dalam tempoh 3 bulan sebelum kehamilan untuk mengelakkan kemilan anggur.


Sumber: Prof. Datuk Dr. Hamid Arshat


Catat Ulasan