Khamis, September 18

Lagi blogger ditahan

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Penulis blog Kickdefella yang dikatakan pernah mencadangkan supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, ditahan di bawah Akta Hasutan hari ini.

Syed Azidi Syed Aziz, 38, ditahan oleh polis yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero putih dan bercermin gelap di rumahnya di Demit, Kota Bharu kira-kira pukul 6 petang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini, mengesahkan penahanan itu.

Beliau juga mengesahkan bahawa penahanan Syed Azidi dilakukan di bawah Akta Hasutan.

"Buat masa ini, saya cuma boleh sahkan setakat itu," katanya.

Syed Azidi yang juga Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan, melalui laman blognya pernah mencadangkan agar bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik semasa negara menyambut ulang tahun kemerdekaan.

Beliau sebelum ini pernah mengarahkan filem pendek bertajuk Lautan Biru di Waktu Subuh.

Sementara itu, di Kota Bharu, isteri Syed Azidi, Bariah Ishak memberitahu Bernama, polis yang datang ke rumah mereka menaiki sebuah Pajero menahan suaminya pukul 5.05 petang.

"Tiga lelaki, yang berpakaian preman, datang ke rumah kami dan memaklumkan bahawa mereka datang untuk menahan suami saya di bawah Akta Hasutan.

"Mereka datang dengan baik walaupun tidak mempunyai waran untuk menahan suami saya," katanya ketika dihubungi.

Sumber: Utusan Online


Catat Ulasan